Hoki Kelayakan Olimpik: Malaysia Tewas Aksi Kedua Di Tangan Great Britain
January 17, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad hoki senior lelaki kebangsaan melakar satu lagi kekalahan pada peringkat Pool A dalam kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024.

Kali ini kekalahan itu hadir selepas bertemu Great Britain pada perlawanan kedua peringkat kumpulan yang berlangsung sekitar tengah malam tadi, waktu Malaysia.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat itu berkesudahan dengan Malaysia bimbingan Arul Selvaraj tumpas dengan keputusan 1-4.

Great Britain berhasil meraih kemenangan menerusi jaringan oleh Will Calnan (19’), Sam Ward (32’, 58’) dan Zachary Wallace (39’).

Manakala jaringan tunggal oleh skuad negara atau Speedy Tigers hadir menerusi Muhammad Shahril Saabah (26’).

Baca: Senarai 18 Pemain Lelaki, Tarikh Ke Oman & Perlawanan Persahabatan Diumumkan

Dalam satu lagi aksi melibatkan dua pasukan lain dalam Pool A, Pakistan berhasil menumpaskan China dengan keputusan 2-0.

Perkembangan ini meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot dalam Pool A selepas mengharungi dua perlawanan manakala Great Britain muncul pasukan terawal yang mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

China pula menghuni kedudukan kedua Pool A diikuti oleh Pakistan di tempat ketiga biarpun berkongsi pungutan mata yang sama iaitu tiga mata.

Bagaimanapun, peluang Malaysia untuk muncul naib juara Pool A dan mara ke peringkat separuh akhir kelayakan masih belum tertutup sepenuhnya.

Namun begitu, Malaysia wajib mencatatkan kemenangan ke atas Pakistan dalam perlawanan terakhir Pool A yang akan berlangsung pada 19 Januari dengan perlawanan bermula jam 12.45 tengah malam (waktu Malaysia).

Pada masa yang sama, Malaysia turut sama perlu berharap China tewas kepada Great Britain dengan defisit lebih daripada dua gol.

Featured Image: FIH / MHC

Komen