Kian Meng-Pei Jing Kandas Kali Ketiga Pusingan 32
January 17, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.3 negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing mengalami satu lagi kekalahan awal pada peringkat pusingan 32.

Pasangan yang menghuni ranking ke-25 dunia itu mengalami kekalahan awal terbaru itu ketika turun beraksi dalam saingan Terbuka India 2024, hari ini.

Dalam perlawanan terbabit, Kian Meng-Pei Jing yang berhadapan beregu No.2 dunia, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino tumpas secara “straight set” 21-7 dan 21-12 dalam tempoh 35 minit.

Kekalahan ini menjadikan Kian Meng-Pei Jing telah tumpas sebanyak lapan kali di tangan Yuta-Arisa di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Untuk makluman semua, Kian Meng-Pei Jing gagal melepasi pusingan 32 dalam tiga kejohanan terakhir yang disertainya sejak November tahun lalu iaitu China Masters 2023 dan Terbuka Malaysia 2024.

Baca: Program RTG Singkir 2 Beregu Campuran & Skuad Hoki Lelaki

Pada minggu lalu, Kian Meng-Pei Jing gagal melepasi pusingan 32 di Terbuka Malaysia ekoran tumpas kepada beregu Korea, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun.

Sementara itu, Yuta-Arisa yang meraih kemenangan meloloskan diri ke pusingan 16.

Bertemu mereka pada peringkat terbabit adalah samada beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu dan Jennie Gai (ranking ke-31) atau beregu Denmark, Mathias Thyrri dan Amalie Magelund (ranking ke-22).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen