Terbuka India: Soon Huat-Shevon Mara, Tang Jie-Ee Wei Kandas
January 18, 2024 Hafizuddin Omar

Sekurang-kurangnya sepasang beregu campuran negara akan mewarnai pentas suku akhir Terbuka India 2024 – Jelajah Dunia Super 750.

Perkembangan ini hadir selepas beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berjaya merakamkan kemenangan ke atas lawannya pada pusingan 16, hari ini.

Kemenangan Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-14 dunia hadir ketika bertemu wakil China yang baru sahaja bergandingan bersama bermula Januari lalu iaitu Cheng Xing dan Zhang Chi.

Dalam pertarungan itu, Soon Huat-Shevon melakar kemenangan ke atas pasangan No.334 dunia itu secara “straight set” menerusi skor 24-26 dan 10-21 dalam tempoh 42 minit.

Baca: BAM Sasar Skuad Negara Ke Peringkat Separuh Akhir BATC 2024

Sementara itu, beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menerima nasib yang berbeza apabila tewas kepada beregu Thailand yang menghuni ranking ketujuh dunia, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Tang Jie-Ee Wei yang kini berada di tangga kesembilan dunia tumpas secara “straight set” menerusi skor 19-21 dan 16-21 dalam perlawanan sengit yang hampir menjangkau satu jam lamanya.

Keputusan ini menjadikan Tang Jie-Ee Wei telah tumpas sebanyak empat kali di tangan Dechapol-Sapsiree daripada lima pertemuan di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Sebagai perbandingan, kemenangan Soon Huat-Shevon menjadikan pencapaian wakil negara dalam kategori beregu campuran dalam saingan Terbuka India 2024 lebih baik berbanding Terbuka India 2023.

Untuk makluman, saingan Terbuka India edisi lalu menyaksikan beregu campuran negara hanya mara setakat pusingan 16 apabilan wakil tunggal negara pada peringkat tersebut, Tang Jie-Ee Wei tumpas di tangan beregu China, Wang Yi Lyu dan Huang Dong Ping.

Featured Image: Facebook Victor

Komen