Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.
Difahamkan, sasaran dalam kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dari 13hb hingga 18hb Februari itu diletakkan buat kedua-dua skuad iaitu lelaki dan wanita.
“Sekurang-kurangnya semi-final (separuh akhir),” ujar Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh Chee Keong ketika ditemui para pengamal media, hari ini.
Beliau menjelaskan sasaran ke peringkat separuh akhir atau kelompok empat terbaik itu diletakkan agar kedua-dua skuad samada lelaki atau wanita dapat melayakkan diri ke saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2024 masing-masing secara merit.
Bagaimanapun, BAM belum memuktamadkan lagi senarai pemain yang akan menganggotai skuad lelaki mahupun wanita bagi beraksi di pentas BATC.
“Buat masa ini, masih lagi dalam perbincangan, saya rasa Rexy (Mainaky) sebagai pengarah kejurulatihan mungkin dia ada dia punya perancangan, jadi, kami masih menunggu cadangan daripada Rexy (mengenai) pemain-pemain yang akan bermain di BATC,” ujarnya.
Baca: Lee Zii Jia Sahut Panggilan BAM Sertai Skuad BATC 2024
View this post on Instagram
Baca: Selangor Disenaraikan Sebagai Tuan Rumah BATC 2024
BAM dijangka membuat pengumuman rasmi melibatkan anggota skuad lelaki dan wanita sebelum 26hb Januari 2024 (Jumaat) – tarikh akhir pendaftaran pemain-pemain untuk menyertai saingan BATC 2024.
Sementara itu, Badminton Asia (BA) mengesahkan kategori lelaki akan ditandingi oleh 15 buah pasukan iaitu Malaysia, Brunei, China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, India, Jepun, Kazakhstan, Korea, Myanmar, Arab Saudi, Singapura, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Manakala kategori wanita pula akan disertai oleh 11 buah pasukan yang terdiri daripada Malaysia, China, Chinese Taipei, Hong Kong, Indonesia, India, Jepun, Kazakhstan, Singapura, Thailand dan UAE.
Sebagai rekod, saingan edisi lalu yang turut berlangsung di SCCC menyaksikan skuad lelaki Malaysia berjaya merangkul kejuaraan apabila berjaya menundukkan Indonesia dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan akhir.
Ianya merupakan kejuaraan sulung diraih Malaysia sejak kejohanan ini dianjurkan bermula tahun 2016 di Hyederabad, India.
Manakala kategori wanita pula dimenangi oleh skuad wanita Indonesia setelah menumpaskan skuad Korea menerusi skor 3-1 dalam perlawanan akhir.
Untuk makluman semua, saingan Piala Thomas dan Uber 2024 dijadualkan berlangsung di Chengdu, China bermula 27hb April hingga 5hb Mei 2024.