Khalid Saleh Al-Turais Dari Arab Saudi Adili Aksi Korea-Malaysia
January 24, 2024 Hafizuddin Omar

Perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E melibatkan skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 akan diadili pengadil dari Arab Saudi iaitu Khalid Saleh Al-Turais, demikian makluman penganjur.

Pada perlawanan itu, Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon akan menentang Republik Korea di Stadium Al Janoub pada 25hb Januari dengan sepak mula pada jam 7.30 malam (waktu Malaysia).

Khalid yang lahir pada 30 April 1987 dan kini berusia 36 tahun akan mengendalikan pertembungan Malaysia dan Korea dengan bantuan dua rakan senegaranya iaitu Khalaf Zaid Al-Shammari dan Yasir Abdullah selaku Penjaga Garisan 1 dan 2 masing-masing.

Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Khalid mengendalikan perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya sejak bergelar pengadil FIFA.

Baca – Korea vs Malaysia: 16 Lokasi Tayangan Skrin Besar Percuma Seluruh Negara

Bagaimanapun, beberapa pemain Harimau Malaya pastinya tidak asing buatnya kerana Khalid pernah mengadili perlawanan melibatkan Kuala Lumpur City FC (KL City) menentang ATK Mohun Bagan dalam saingan Piala AFC 2022.

Perlawanan yang berkesudahan dengan KL City merakamkan kemenangan 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri tanpa sebarang jaringan itu turut dihiasi dengan layangan lima kad kuning oleh Khalid.

Pada masa yang sama, ini merupakan penampilan Khalid yang kedua di pentas Piala Asia 2023 selepas mengendalikan perlawanan melibatkan Iraq dan Jepun baru-baru ini.

Sementara itu, penganjur menugaskan Abdulrahman Ibrahim Al-Jassim dari Qatar selaku pengadil keempat.

Featured Image: AFC

Komen