Piala Asia 2023: Nazmi Nasaruddin Adili Aksi Thailand-Uzbekistan
January 30, 2024 Hafizuddin Omar

Pengadil negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin akan membuat kemunculan sekali lagi di pentas Piala Asia 2023 apabila dipilih untuk mengadili aksi pusingan 16 melibatkan skuad jiran tetangga iaitu Thailand dan Uzbekistan, pada malam ini.

Aksi yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu akan turut dibantu oleh Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rashid selaku Penjaga Garisan 1 dan 2 masing-masing. Manakala Ahmed Abu Bakar Al Kef dari Oman pula berperanan sebagai Pengadil Keempat.

Sementara itu, Omar Mohammed Ahmed Hassan Alali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bertugas mengetuai pengadil Video Bantuan Gol (VAR).

Untuk makluman, ini merupakan penampilan kedua berturut-turut buat skuad berjulukan Gajah Perang di pusingan 16 Piala Asia selepas mencipta kemaraan yang sama pada edisi lalu di UAE pada tahun 2019.

Sekiranya meraih kemenangan, Thailand yang menghuni ranking ke-113 dunia akan menjadi pasukan tunggal dari rantau asia tenggara yang beraksi di peringkat suku akhir.

Uzbekistan yang menghuni ranking ke-68 dunia pula mengintai penampilan kelima pada peringkat suku akhir selepas mara ke peringkat yang sama pada edisi 2004, 2007, 2011 dan 2015.

Pemenang bagi perlawanan ini akan bertemu tuan rumah iaitu Qatar yang berjaya menumpaskan Palestin dengan keputusan 2-1 dalam pertembungan pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Al Bayt, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Sebagai rekod, Nazmi serta Zairul dan Arif membuat penampilan pertama selaku pengadil perlawanan dan penjaga garisan di pentas Piala Asia 2023 dengan mengadili pertembungan antara Iraq dan Vietnam yang berkesudahan dengan keputusan 3-2 memihak kepada Iraq dalam saingan Kumpulan D.

Featured Image: AFC

Komen