Kenali Ahmed Al Kaf – Pengadil Perlawanan Bahrain vs Malaysia
January 19, 2024 Hafizuddin Omar

Perlawanan kedua peringkat Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 melibatkan skuad bola sepak kebangsaan dan Bahrain akan diadili oleh Ahmed Abu Bakar Said Al Kaf dari Oman.

Pemakluman mengenai pemilihan pengadil yang terkenal dengan panggilan Ahmed Al Kaf ini dikongsikan sendiri oleh penganjur menerusi satu lampiran yang dimuat naik pada laman sesawang rasmi. 

Ahmed yang lahir pada 6hb Mac 1983 menerima pentauliahan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak tahun 2010 merupakan seorang pengadil yang berpengalaman luas dalam mengendalikan pelbagai perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan kelab mahupun negara.

Menariknya, skuad kebangsaan atau Harimau Malaya bukanlah sebuah pasukan yang asing buat Ahmed.

Baca: Penyerang Liga Czech, Pemain Tengah Kedah Barisi Skuad Bahrain Di Piala Asia 2023

Ini kerana Ahmed pernah mengadili empat perlawanan melibatkan Harimau Malaya iaitu ketika menentang Thailand (perlawanan persahabatan 2015, Piala AFF 2018), Palestin (kelayakan Piala Dunia 2018) dan Korea Utara (kelayakan Piala Asia 2019).

Bukan itu sahaja, Ahmed turut sama pernah mengadili perlawanan melibatkan dua buah kelab berpangkalan di Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan Piala AFC 2015 dan 2022 masing-masing.

Sementara itu, perlawanan Malaysia dan Bahrain kelak turut menyaksikan Ahmed dibantu oleh dua rakan senegaranya iaitu Al-Amri Abu Bakar Salim Mahad dan Rashid Hamed Ali Al Ghaithi selaku Penolong Pengadil 1 dan 2 masing-masing.

Manakala pengadil keempat keempat pula ditugaskan kepada Mohanad Qasim Eesee Sarray dari Iraq dan akhir sekali John Chia Eng Wah dari Singapura selaku pengadil simpanan.

Untuk makluman semua, perlawanan melibatkan Malaysia dan Bahrain itu nanti dijadualkan berlangsung pada Sabtu (25hb Januari) dengan sepak mula jam 10.30 malam (waktu Malaysia).

Baca – Bahrain vs Malaysia: 16 Lokasi Tayangan Skrin Besar Percuma Seluruh Negara

Featured Image: AFC

Komen