BATC 2024: Skuad Lelaki Malaysia Diundi Dalam Kumpulan B
January 30, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad lelaki Malaysia akan menghadapi saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 bermula dari Kumpulan B.

Kumpulan itu menyaksikan Malaysia merangkap juara bertahan diundi bersama-sama Chinese Taipei, Kazakhstan dan Brunei Darussalam.

Perkembangan itu hadir susulan selesainya majlis undian rasmi kejohanan pada hari yang turut disiarkan secara penstriman langsung menerusi akaun Facebook dan saluran Youtube MSN Selangor dan Badminton Asia.

Malaysia mempertaruhkan barisan terkuatnya untuk mengharungi saingan BATC 2024 dengan menyenaraikan pemain perseorangan seperti Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Baca: BAM Sasar Skuad Negara Ke Peringkat Separuh Akhir BATC 2024

Senarai itu diikuti dengan beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik; beregu No.4 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin serta gandingan Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal Nazri.

Sementara itu, hasil undian pada hari ini menyaksikan Kumpulan A disertai tiga buat pasukan iaitu China, India dan Hong Kong.

Manakala Kumpulan C pula menempatkan Jepun, Thailand, Singapura dan Myanmar. Akhir sekali, Kumpulan D dihiasi oleh naib juara edisi lalu, Indonesia bersama-sama Republik Korea, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Untuk makluman semua, BATC yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC)  ini akan membuka tirainya bermula 13hb Februari dan tamat pada 18hb Februari.

Featured Image: 

Komen