Artikel

Piala Dunia Hoki 5s: Malaysia Tempa Sejarah Ke Perlawanan Akhir

Skuad hoki lelaki lima sebelah negara menempa sejarah baharu apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan FIH Hoki 5s Piala Dunia (Lelaki) 2024 yang sedang berlangsung di Oman.

Skuad bimbingan Wallace Tan mengesahkan kemaraan tersebut menerusi kemenangan 4-3 ke atas Poland dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Keputusan itu dicetak melalui gol oleh Muhammad Arif Syafie Ishak (7’), Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (19’) serta jaringan berganda daripada kapten pasukan iaitu Mohamad Akhimullah Anuar Esook (22’, 24’).

Baca: Skuad Hoki Lelaki Negara Gagal Ke Sukan Olimpik Buat Kali Ke-6

Sementara itu, tiga jaringan oleh Poland pulan dihasilkan oleh Damian Jarzembowski (9’), Wojciech Rutkowski (27’) dan Jakub Holosyniuk (30’).

Susulan kemenangan yang cukup manis itu, Malaysia akan turun berentap menentang Belanda bagi merebut kejuaraan bagi edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s.

Untuk makluman, pertembungan Malaysia dan Belanda itu dijadualkan berlangsung pada awal pagi Khamis (1 Februari) bermula jam 12.20 tengah malam (waktu Malaysia).

Featured Image: FIH / MHC

komen