Thailand Masters: Pemain No.70 Dunia Singkir Leong Jun Hao
January 31, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton No.3 lelaki negara, Leong Jun Hao hanya beraksi satu perlawanan sahaja iaitu pada pusingan 32 dalam Thailand Masters 2024.

Ini susulan pemain negara yang berusia 24 tahun terbabit tumpas di tangan perseorangan India yang berada di ranking ke-70 dunia, S. Sankar Muthusamy Subramanian, 20 tahun, pada peringkat tersebut.

Biarpun menghuni ranking yang lebih tinggi iaitu ke-37 dunia, ianya tidak membantu Jun Hao melakar kemenangan ke atas S. Sankar apabila terpaksa akur tumpas secara “straight set” menerusi skor 14-21 dan 17-21.

Baca – BATC 2024: Skuad Lelaki Malaysia Diundi Dalam Kumpulan B

Kekalahan itu sekaligus menyingkirkan Jun Hao daripada saingan Jelajah Dunia BWF Super 300 ini – kejohanan kedua yang disertainya pada tahun ini.

Sebagai perbandingan, penyertaannya dalam saingan Indonesia Masters 2024 pada minggu lalu adalah lebih baik apabila mara sehingga ke pusingan 16.

Sementara itu, S. Sankar yang mencetak kemenangan dapat melayakkan dirinya ke pusingan 16.

Menantinya pada peringkat tersebut adalah pemain No.2 Chinese Taipei, Lin Chun-Yi yang menghuni ranking ke-19 dunia. 

Terdahulu, Chun-Yi mara selepas menumpaskan pemain Singapura, Jason Teh Jia Heng menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 16-21, 21-15 dan 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen