Artikel

Madam Pang Presiden Baharu Persatuan Bola Sepak Thailand

Ahli perniagaan dan bilionair kelahiran negara Gajah Putih, Nualphan Lamsan atau dikenali sebagai Madam Pang kini merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) yang ke-18.

Perkembangan ini hadir selepas individu berusia 57 tahun yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak negara jiran tetangga itu selepas memenangi perebutan kerusi presiden dalam Mesyuarat Luar Biasa FAT, pada hari ini.

Pada masa yang sama, keputusan terbabit turut menjadikan Madam Pang menempa sejarah baharu selaku wanita pertama menduduki kerusi Presiden FAT.

Menerusi perkongsian media Thailand, Madam Pang mendapat 68 daripada 73 undian sekaligus mengalahkan pencabarnya Komkrit Napalai, Warong Thiuthas, Pauline Ngarmpring dan Tanasak Surapraset.

Baca: Thailand Ambil Khidmat Jurulatih ‘Double Treble’ Ganti Alexandre Polking

Perlantikan Madam Pang ini menggantikan presiden terdahulu iaitu Somyot Poompunmuang yang memimpin FAT selama dua penggal berturut-turut sejak tahun 2016.

Terdahulu, Madam Pang bertindak meletakkan jawatan sebagai pengurus skuad senior kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun (B-23) yang dipegangnya sejak tahun 2021 bagi membolehkannya bertanding merebut kerusi Presiden FAT.

Sebelum itu, Madam Pang berperanan sebagai pengurus skuad kebangsaan wanita ketika beraksi dalam saingan Piala Dunia Wanita FIFA edisi 2015 dan 2019.

Selain bersama skuad kebangsaan, Madam Pang turut pernah memimpin kelab yang beraksi dalam saingan Thai League 1 iaitu Port FC – diambil alihnya pada tahun 2015.

Featured Image: Changsuek

komen