Artikel

Pemain Kacukan Sasaran JDT, Nooa Laine Sertai Selangor FC – Kontrak Pinjaman

Pemain berdarah kacukan Finland-Malaysia yang sebelum ini menjadi sasaran Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Nooa Hamzah Laine menyertai naib juara Liga Super, Selangor FC.

Penyertaan pemain tengah berusia 21 tahun diumumkan secara rasmi oleh skuad berjulukan Red Giants itu menerusi pelbagai platform media sosial dan laman sesawang rasminya, pada hari ini.

Dimaklumkan, Selangor FC mengikat khidmat Nooa yang sebelum ini beraksi bersama SJK Seinäjoki dalam kancah Liga Finland secara pinjaman selama setahun dengan pilihan untuk dibeli secara tetap.

Untuk makluman semua, Nooa memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama Jyväskylän Jalkapalloklubi atau lebih dikenali sebagai JJK Jyväskylä – kelab yang berpangkalan di tempat kelahirannya – dalam kancah divisyen kedua Finland, Ykkönen pada tahun 2018.

Baca: Selangor FC Kekal Bermain Atas ‘Cow Grass’ Musim 2024-25

Selepas itu, kariernya diteruskan dengan menyertai Klubi 04 – skuad pembangunan HJK Helsinki pada musim 2019 dan 2020 sebelum berhijrah memasuki Seinäjoki.

Sementara itu, pembabitannya bersama skuad utama Seinäjoki memperlihatkan catatan rekod sebanyak 77 penampilan selain menjaringkan empat gol. Manakala ketika beraksi bersama skuad pembangunan, SJK Seinäjoki II, Nooa merekodkan 16 penampilan.

Video: Pemain Malaysia-Finland, Nooa Laine Raih Gol Sulung Dalam Kancah Veikkausliiga

Seperti yang ramai sedia maklum, Nooa juga merupakan salah seorang pemain yang pernah mendapat panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaya selain beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.

Bersama Selangor FC, Nooa akan menyarung jersi bernombor 6 untuk mengharungi saingan Liga Malaysia serta Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang mendatang.

Sebelum ini, pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mendedahkan menerusi satu komen yang ditinggalkan di platform Instagram bahawa Nooa menjadi sasaran seterusnya skuad Harimau Selatan selepas menandatangani rakan sepasukannya, Murilo Henrique de Araujo Santos.

Featured Image: Selangor FC

komen