Naib juara Liga Super iaitu Selangor FC kekal bermain di atas permukaan padang yang menggunakan rumput jenis “cow grass” bagi aksi di halamannya sendiri pada musim 2024-25 kelak.
Ini berikutan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang merupakan halaman rasminya dengan kemampuan memuatkan 25,000 penonton pada satu-satu masa kekal menggunakan rumput jenis “cow grass”.
Justeru para penyokong tidak akan dapat menyaksikan permukaan padang di stadium tersebut menggunakan rumput yang berdaun lebih halus seperti zeon zoysia mahupun bermuda sepertimana digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) serta Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan penukaran rumput tidak dilakukan ekoran kesuntukan masa biarpun terdapat tawaran penajaan kewangan berjumlah RM800,000 oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim iaitu Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).
Untuk makluman semua, saingan musim baharu Liga Malaysia akan membuka tirainya pada 3hb-5hb Mei kelak.
Baca: Puasa, Hari Raya Antara Faktor Sepak Mula Liga Malaysia 2024-25 Dilewatkan
“Buat masa ni kita memang ambil serius, berfikir dengan panjang, ‘deliberate’ dengan banyak dengan cadangan dan juga tawaran (daripada) pihak KBS dan TMJ ke atas penukaran rumput,”
“Tetapi buat masa ini kita akan fokus lebih kepada saliran kerana itu amat penting buat masa ini kerana isu ‘timeline’,
“Sebab kalau nak tukar rumput tu ambil masa 6-8 bulan seperti kita lihat di (Stadium Nasional) Bukit Jalil apabila padang tu tak bersedia mengakibatkan banyak lagi masalah lain.”
“Jadi, di MBPJ pula apabila musim dah bermula takde masa nak rehat dah, setiap minggu ada perlawanan, jadi memandangkan sekarang sudah bulan satu (Januari), masa untuk menyiapkan padang kalau tukar rumput saya rasa tak sempat,
“Sekarang pun musim hujan, jentera tak boleh masuk, jadi memang tak boleh jalankan kerja-kerja yang tukar rumput tu,” ujarnya ketika ditemui oleh para pengamal media di Pusat Latihan Selangor FC, pada hari ini.
Baca: SSI Bakal Beralih Kepada Padang Jenis Hybrid?
Bagaimanapun, Dr. Johan memaklumkan pihaknya akan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja untuk memperbaiki dan menaik taraf saliran bagi padang di stadium tersebut.
Menurutnya, saliran yang baik akan memastikan air akan turun dengan cepat apabila berlakunya hujan waima hujan yang lebat sekaligus membuatkan padang tersebut tidak menjadi lecak.
Permukaan yang tidak lecak akan memastikan kurangnya risiko kecederaan akan menimpa para pemain serta dapat menyajikan perlawanan dan permainan pada kualiti tertinggi kepada para penonton.
Sementara itu, Dr. Johan turut berkongsikan bahawa kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf pelbagai kemudahan dan fasiliti seperti tempat duduk penyokong, sistem bunyi, sistem dan dan lain-lain di Stadium MBPJ bagi memenuhi tuntutan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) akan selesai pada bulan April kelak.
Pada masa yang sama, Selangor FC hampir pasti menjadi kelab Liga Super tunggal yang menggunakan Stadium MBPJ selaku halaman rasminya pada musim 2024-25 kelak memandangkan PDRM FC akan berpindah ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Featured Image: Malaysian Football League