Zainal Ketuai Delegasi 12 Pemain Tempatan Berlatih Bersama Wolves
February 13, 2024 Hafizuddin Omar

Delegasi 12 pemain tempatan yang terpilih untuk berlatih bersama barisan kejurulatihan pembangunan Wolverhampton Wanderers akan diketuai oleh legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan. 

Penglibatan kesemua 12 pemain tersebut adalah di bawah program “Dare To Dream” yang dijayakan oleh MBSB Bank selaku Penaja Rasmi Pertandingan MBSB Bank Championship 2023.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fikri Mohd Fuad menjelaskan pemilihan Zainal adalah tepat berdasarkan pengalaman yang ada pada dirinya selaku bekas pemain dan juga jurulatih.

Baca: Ini Senarai 12 Pemain Terpilih Berlatih Bersama Kelab EPL

Tambahan pula, Zainal juga pernah berkelana di United Kingdom bersama Cardiff City selama enam bulan untuk menimba pengalaman sebagai jurulatih sebelum ini.

Sebelum terbang ke sana, 12 pemain tersebut menerima bimbingan daripada Zainal menerusi sesi latihan yang diadakan bermula 10hb hingga 12hb Februari di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Untuk makluman, delegasi ini akan berkampung di pusat latihan milik Wolves, Compton Park bermula 19hb hingga 26hb Februari untuk menimba pengalaman daripada kelab yang kini beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) terbabit.

Komen