Artikel

Liga M3 2024-25 Bermula 3 Mei

Saingan bola sepak semi-profesional tanah air, Liga M3 atau nama komersilnya iaitu MBSB Bank Championships musim 2024-25 akan bermula dalam tempoh sekitar dua bulan lagi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, saingan divisyen ketiga itu akan membuka tirainya pada 3 Mei kelak.

“Kalau ikut kepada jadual kita, (permulaannya) pada 3 Mei 2024, itu adalah perlawanan pertama,” katanya ketika ditanyakan oleh pengamal media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Difahamkan, saingan Liga M3 ini akan berlangsung dalam tempoh lapan bulan dengan ianya akan menutup tirainya pada 19 Januari 2025.

Baca: Yusoff Mahadi Letak Jawatan, Mahu Beri Tumpuan Penuh Kepada AFL

Baca: Zainal Ketuai Delegasi 12 Pemain Tempatan Berlatih Bersama Wolves

Sementara itu, Raimi memaklumkan AFL selaku pengelola Liga M3 berhasrat untuk mengekalkan jumlah kelab yang menyertai saingan Liga M3 2024-25 ini sama seperti musim lalu.

“Kalau ikut, kita nak maintain (kekal) sama 14 (pasukan), maknanya kita nak konsisten macam tahun lepas, cumanya tertakluk kepada perubahan,” katanya lagi.

Untuk makluman semua, saingan musim 2023 menyaksikan Imigresen dinobatkan selaku juara Liga M3 selepas berhasil mengalahkan Melaka FC dalam perlawanan terakhir liga yang berlangsung di Stadium Hang Tuah.

Kejuaraan tersebut bukan sahaja membolehkan mereka menjulang trofi kejuaraan bahkan meraih ganjaran berupa wang tunai bernilai RM100,000.

Featured Image: AFL

komen