Perseorangan lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong dijangka kembali menjalani latihan di gelanggang tanpa sebarang kesakitan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Perkara itu disahkan sendiri oleh doktor yang merawatnya merangkap Pakar Perubatan Sukan Insititut Sukan Negara (ISN), Dr. Jasmiza Khuzairi Jasme.
“Daripada perbincangan kita dengan pakar yang terlibat, kita jangkakan daripada rawatan yang dibuat tu dia mampu kembali ke court (gelanggang) untuk training (berlatih) sepenuhnya dalam satu hingga dua minggu tanpa sebarang kesakitan,”
“Tetapi macam saya cakap, setiap individu respon terhadap rawatan berbeza, so (jadi) kita harap beliau mengambil masa yang singkatlah, tetapi so far (buat masa ini) so good-lah (sangat baiklah),” katanya ketika ditemui di ISN selepas Persidangan Perubatan 2024 anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) hari ini.
Difahamkan, Tze Yong mengalami kecederaan berkaitan saraf di bahagian belakangnya semasa turun bermain mewakili skuad lelaki Malaysia dalam saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada minggu lalu.
Baca: Skuad Lelaki Negara Muncul Naib Juara BATC 2024
“Kecederaan berkaitan saraf ni sebenarnya agak common (biasa) dalam kalangan atlet sebab kita tahu atlet nasional ni training (latihan) diorang agak tough (keras) dan berintensiti tinggi dengan (sesi latihan) pagi dan petang melibatkan semua atlet dan semua sukan,”
“So (jadi), repetitive impact daripada lompat, landing dan sebagainya memang saya katakan kecederaan bukanlah benda yang jarang, agak kerap, samada benda itu sedikit atau banyak, bergantung kepada keadaan atlet itu lah,” jelasnya lagi.
Dr. Jasmiza turut mengesahkan kecederaan terbabit adalah kecederaan yang berbeza menimpanya pada Januari lalu dalam saingan Terbuka Malaysia 2024. Bahkan, beliau memaklumkan kecederaan lama dialami Tze Yong itu telah pulih sepenuhnya.
Ketika ini, pemain berusia 23 tahun itu sedang menjalani sesi rehabilitasi di bawah pemantauan ahli fisioterapi daripada ISN dan BAM.
Kedua-dua pihak turut bekerja keras dan memberikan rawatan yang terbaik buat Tze Yong agar dapat kembali beraksi terutamanya pada kejohanan yang berlangsung di eropah kelak sekaligus dapat mengutip mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 Paris.
Featured Image: Thailand Open 2023