Muslim Ahmad: Sekadar Mencuba Muay Thai, Belum Bersara Bola Sepak
February 24, 2024 Hafizuddin Omar

Bekas pertahanan kebangsaan yang menjuarai Piala AFF 2010, Muslim Ahmad, yang bakal berentap dalam satu pertarungan Muay Thai belum merancang untuk bersara sepenuhnya sebagai pemain bola sepak.

Sebaliknya pertahanan berusia 35 tahun yang berstatus ejen bebas ini menegaskan penyertaannya dalam pertarungan itu sekadar berniat untuk mencuba serta mengenali dengan lebih dekat mengenai sukan berkenaan.

Tambahan pula, sementara menanti permulaan saingan Liga Malaysia yang akan bermula sekitar pertengahan Mei nanti, penyertaannya dalam sukan ini juga dapat meningkatkan daya ketahanan dirinya.

“Sebenarnya saya juga sudah biasa dengan sukan Muay Thai ini dan telah dikelilingi oleh orang-orang dari sukan ini juga sejak dari kecil jadi saya dah ada sedikit asas.”

“Tetapi saya tidaklah cakap saya secara rasmi dah bersara dalam bola sepak, cumanya sekarang saya masih menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan.”

“Dan sambil menunggu, sebab itu saya ingin mencuba sukan Muay Thai dan bagus juga untuk saya sebab dapat tahu lebih dekat tentang sukan ini.”

“Saya pun tak tahu berapa jauh saya boleh pergi dalam sukan ini tapi untuk kali pertama ini, saya dah berlatih dalam 7 hari, agak mencabar juga tapi saya cubalah,” jelasnya.

Baca: Kenali 5 Petarung MMA Muslim Selain Khabib Nurmagomedov

Berdasarkan poster yang telah tersebar di pelbagai platform media sosial, Muslim akan turun berentap menentang lawannya dari Perlis, Atingpek bermula jam 8.30 malam bertempat di Padang Serai, Kedah.

Sementara itu, bercakap mengenai karier bola sepaknya, Muslim yang dilepaskan selepas tujuh musim bersama Sri Pahang FC belum berhasrat untuk “menggantung butnya”  kerana memasang impian untuk menjulang trofi Piala Malaysia.

Justeru itu, Muslim yang merupakan kelahiran Terengganu ini sedia menantikan tawaran daripada mana-mana kelab yang menginginkan khidmatnya bagi menghadapi saingan musim 2024-25.

Baca: Si Penggali Kubur ‘The Undertaker’ Umum Bersara Daripada WWE

“Jujurnya saya rasa satu benda lagi yang memang saya masih tak puas dalam bola sepak dan dah lama simpan dalam hati iaitu untuk meraih trofi Piala Malaysia.”

“Rasanya dah 4 hingga 5 kali saya kalah di separuh akhir jadi memang tak pernah merasa untuk ke final Piala Malaysia.”

“Jadi sebab itu saya rasa tak boleh nak berhenti lagi dan kalau boleh memang saya nak kejayaan itu dahulu,” tambahnya.

Selain trofi Piala Malaysia, Muslim pernah menjulang trofi Liga Premier sebanyak dua kali serta Piala FA pada musim 2018.

Bersama skuad kebangsaan, selain menjulang trofi Piala AFF 2010, Muslim juga antara anggota skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) yang merangkul pingat emas Sukan SEA 2009.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen