Cheah Liek Hou Bergelar Juara Kejohanan Badminton Para Dunia Kali Ke-8
February 26, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou menambah satu lagi koleksi gelaran juara dunia dalam acara perseorangan lelaki apabila muncul pemenang di Kejohanan Badminton Para Dunia BWF 2024 di Pattaya, Thailand.

Liek Hou yang beraksi dalam kategori SU5, semalam, meraih kemenangan berkenaan selepas berjaya menumpaskan seteru rapatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 16-21 dan 21-15.

Kemenangan itu sekaligus menobatkannya selaku juara dunia buat kali kelapan selepas menjurainya sebanyak tujuh kali sebelum pada edisi 2022, 2017, 2015, 2013, 2011, 2007 dan 2005.

Tidak terhenti setakat itu, Liek Hou turut membawa satu lagi gelaran juara apabila mempamerkan aksi cemerlang sekaligus merangkul kejuaraan dalam acara beregu lelaki SU5 bersama-sama Muhammad Fareez Anuar.

Baca: Adrian Teh Filemkan Kejayaan Cheah Liek Hou Rangkul Pingat Emas Paralimpik 2020

Kejuaraan itu hadir setelah Liek Hou-Fareez menumpaskan pasangan India, Chirag Baretha-Raj Kumar dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-18 dalam perlawanan akhir.

Sebagai rekod, kemenangan itu menjadikan Liek Hou memiliki gelaran juara dunia dalam kategori beregu buat kali keenam selepas menjuarainya pada edisi 2015, 2013, 2011, 2007 dan 2005.

“Kejohanan pertama untuk Tahun Naga ini dan saya dilahirkan di Tahun Naga,”

“Saya berharap Tahun Nagara ini boleh membakar semangat di kejohanan yang seterusnya terutamanya di Sukan Paralimpik di Paris nanti,”

“Terima kasih banyak-banyak kepada penaja-penaja saya yang sudi menyokong saya sepanjang karier saya,”

“Tidak lupa kepada rakyat Malaysia yang sering menyokong saya. Terima kasih banyak menyokong saya dan pasukan para badminton negara selama ini.” tulis Liek Hou di akaun media sosialnya.

Featured Image: Facebook Cheah Liek Hou

Komen