ACC 2024: Izzah Tambah Koleksi Pingat Emas, Menang Acara 500m Ujian Masa
February 27, 2024 Hafizuddin Omar

Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menambah satu lagi koleksi pingat emas daripada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024, New Delhi, India.

Pelumba berusia 20 tahun terbabit menambah satu lagi kilauan pingat emas susulan berjaya memenangi acara 500 meter (m) ujian masa yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi, petang semalam.

Izzah kelahiran Kedah muncul sebagai pemenang selepas melakukan catatan masa 34.388 saat (s).

Kejayaan itu sekaligus menyaksikan Izzah berhasil menebus kekecewaan dalam edisi tahun lalu dimana dia sekadar merangkul pingat perak.

Sementara itu, Hwang Hyeon-seo (Republik Korea) yang merekodkan catatan masa 34.802s serta Luo Shuyan (China) dengan masa 34.958s pula membawa pulang pingat perak dan gangsa masing-masing.

Untuk makluman, pada Ahad lalu, Izzah telah mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas dalam acara keirin wanita.

Sebelum itu, Izzah turut sama mengutip pingat perak dan gangsa dalam acara pecut berpasukan dan individu di kejohanan yang sama.

Featured Image: Instagram Malaysian Track Cycling

Komen