Paling Minima Ikat 7 Pemain Import – CEO KL City
February 27, 2024 Hafizuddin Omar

Di sebalik duit yang masih belum berkunjung masuk dalam akaun, Kuala Lumpur City FC (KL City) tetap menyasarkan untuk mengikat sekurang-kurangnya tujuh pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Difahamkan, jumlah pemain import itu ditetapkan agar KL City dapat membina sebuah skuad yang mampu memberikan saingan selain mengelak daripada menjadi belasahan dalam kancah liga kelak.

Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard menjelaskan jumlah itu juga disasarkan bagi menyamai kuota 6+1 pada hari perlawanan sebagaimana yang ditetapkan oleh pengelola, Malaysian Football League (MFL).

“Paling minima sudah tentu kita cuba dapatkan tujuh orang (pemain import), enam akan ada di atas padang dan satu di bangku (simpanan),”

“Jika betul-betul kita takda (duit), kita akan kurangkan kepada enam atau lima (pemain import),”

Baca: Perubahan Logo KL City, Boleh Kemuka Semasa ‘Town Hall’ Bulan Mei – CEO

“Tetapi kita akan dapatkan (pemain import) sekurang-kurangnya dengan kuota semasa (6+1) melainkan kita mempunyai bajet yang lebih baik,” katanya dalam sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, skuad berpangkalan di ibu kota yang muncul juara Piala Malaysia 2021 itu sedang menantikan duit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berjumlah RM8 juta secara keseluruhan.

Manakala, pihak pengurusan KL City turut sama mengusahakan penajaan daripada pihak lain terutamanya daripada entiti swasta untuk menambahkan lagi kantung kewangannya.

Berdasarkan perbelanjaan musim-musim lalu, KL City membelanjakan sekitar RM14 juta semusim bagi membentuk skuad yang boleh memberikan cabaran dan mengelak daripada menjadi belasahan.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen