Rekaan logo Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang berbentuk perisai berserta kepala harimau sejak tahun 2021 – disifatkan buruk – tidak disukai oleh sekelompok penyokong kelab yang berpangkalan di ibu kota terbabit.
Sejak daripada itu, sekelompok penyokong menuntut pihak pengurusan untuk menampilkan rekaan logo yang baharu namun tuntutan itu tidak diendahkan dan logo terbabit kekal digunakan hingga saat ini.
Bagaimanapun, sekitar awal Mei nanti, KL City merancang untuk mengadakan satu ‘town hall’ bersama-sama para penyokongnya dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard memaklumkan perkara itu boleh dikemukakan semasa sesi tersebut.
Baca: Penyerang Naturalisasi Kebangsaaan Sertai Juara Liga Super 10 Kali
Baca: KL City Semakin Hampir Dapatkan Taikun Hadapi Musim 2024-25
“Bab logo saya rasa benda tu saya terbuka, bila kita buat town hall (dialog awam) boleh address (kemukakan) perkara itu,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Tambahnya lagi, pada sesi ‘town hall’ yang akan diadakan samada 3hb atau 4hb Mei, para penyokong diberi peluang untuk bertemu para pemain, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan.
Bercerita mengenai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25, Stanley memaklumkan ketua jurulatih serta skuad penuh KL City akan dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi – selepas dana diterima.
Selepas itu, KL City akan memulakan sesi pramusimnya dan menutupnya dengan menyertai saingan Piala Menteri Wilayah Persekutuan yang akan melibatkan penyertaan empat buah pasukan.
Pada 20hb April nanti, akan dilakukan pelancaran skuad KL City bersama-sama dengan pas bermusim buat para penyokong.