Terbuka Jerman: Yew Sin-Ee Yi Tiada Masalah Melangkah Ke Pusingan 16
February 28, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu badminton lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi tiada masalah untuk memulakan kempen Terbuka Jerman 2024 dengan langkah kanan sekaligus menempah kemaraan ke pusingan 16.

Langkah kanan oleh gandingan pemain berusia 29 dan 30 tahun masing-masing itu terhasil selepas menundukkan wakil Perancis yang menghuni ranking ke-92 dunia, Eloi Adam dan Leo Rossi secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-14.

Sebagai rekod, pertarungan melibatkan kedua-dua beregu terbabit yang berlangsung di Westenergie Sporthalle itu memakan masa 33 minit sebelum menemui pemenangnya.

Baca: Cheah Liek Hou Bergelar Juara Kejohanan Badminton Para Dunia Kali Ke-8

Sementara itu, kemenangan terbabit membawa Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan pertama bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 bertemu Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard pada pusingan berikutnya.

Beregu dari Denmark yang menghuni ranking ke-35 dunia itu mara selepas menewaskan gandingan Chinese Taipei, Chen Cheng Kuan dan Chen Sheng Fa menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 26-24, 18-21 dan 21-14.

Untuk makluman, pertemuan Yew Sin-Ee Yi dan Daniel-Mads pada hari esok akan menjadi yang pertama buat kedua-dua beregu di pentas kejohanan antarabangsa.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen