Pertahanan muda, Ubaidullah yang dinobatkan selaku Pemain Terbaik Perlawanan Akhir (MOTM) Piala MFL 2023 kini diserap masuk ke skuad senior Terengganu FC bimbingan Tomislav Steinbruckner bagi saingan musim 2024-25.
Penyerapan masuk pemain berusia 20 tahun ini hadir selepas mempamerkan aksi cemerlang pada musim lalu sehingga berjaya membantu skuad Terengganu FC II merangkul kejuaraan Piala MFL 2023.
Sungguhpun telah diturunkan beberapa kali oleh Tomislav untuk beraksi bersama skuad senior sepanjang musim lalu, Ubai tidak melihat tempatnya dalam kesebelasan utama telah terjamin pada musim 2024-25 nanti.
Ini berikutan saingan untuk beraksi dalam kesebelasan utama bersama skuad senior adalah lebih tinggi berikutan adanya pemain import selain pemain-pemain tempatan senior yang lain.
“Bagi saya kewujudan Piala MFL musim lepas adalah cadangan yang baik untuk liga kita dan telah beri banyak peluang kepada pemain-pemain muda untuk melonjak naik.
“Ini adalah satu punca juga saya dapat naik ke skuad utama selain atas usaha diri sendiri dan secara tidak langsung Piala MFL ini beri saya minit bermain yang banyak.
Baca: Format Baharu Piala MFL – Liga Satu Kumpulan, 3 Pemain Import Atas Padang
“Sudah tentu saingan di skuad utama lebih tinggi dengan kehadiran pemain import baharu juga tetapi bagi saya setiap peluang itu akan ada jika kita berlatih bersungguh-sungguh.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan juga ketua jurulatih atas kepercayaan ini dan pencapaian tahun lepas akan jadi batu loncatan kepada saya di sini,” jelasnya.
Selain beraksi di pentas akhir Piala MFL, musim lalu, Ubai juga turut beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 yang disifatkan sebagai pengalaman yang cukup mahal dalam kariernya serta mematangkan dirinya sebagai pemain.
“Ya, itu semestinya satu pengalaman yang cukup berharga dan mungkin susah dah nak ulangi pengalaman seperti itu.
“Walaupun final kedua (Piala Malaysia) saya beraksi dengan sedikit kecederaan tetapi situasi ini mematangkan saya untuk saya lebih belajar selepas ini.
“Aura final itu sendiri memang berbeza dan sebagai pemain muda, ianya menjadi semangat kepada saya untuk melakukan dengan lebih baik lagi” tambahnya.
Featured Image: Terengganu FC II