Artikel

Format Baharu Piala MFL – Liga Satu Kumpulan, 3 Pemain Import Atas Padang

Penganjuran saingan liga simpanan bagi pemain bawah 23 tahun (B-23) iaitu Piala MFL pada musim 2024-25 akan menggunakan format baharu serta membuat sedikit perubahan melibatkan peraturan penggunaan pemain import dan lebih umur.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan hari ini, badan pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan penganjuran Piala MFL edisi kedua akan menggunakan format liga sekumpulan serta dijalankan secara “double round-robin”.

Pasukan yang menamatkan saingan liga di tangga teratas pada penghujung musim akan dinobatkan sebagai juara.

Baca: TFC II Kendalian Hai-O Juara Edisi Sulung Piala MFL, Bawa Pulang RM500,000

Sebagai perbandingan, penganjuran edisi pertama menyaksikan Piala MFL kesemua pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan akan beraksi dengan format “double round-robin”.

Pasukan yang menamatkan saingan peringkat kumpulan di posisi empat teratas akan mara ke Pusingan 2 atau dinamakan sebagai Liga Juara yang dijalankan secara “single round-robin”.

Dua pasukan teratas Liga Juara akan mara ke perlawanan akhir untuk merebut gelaran juara dan trofi kejuaraan Piala MFL.

Baca: Penganjur Sedang Bincang Tambah Perlawanan Piala MFL

Perubahan format ini dilihat akan menyediakan lebih banyak perlawanan kepada pemain-pemain dan juga seperti yang diminta oleh kelab-kelab untuk meningkatkan kesediaan dan pendedahan pemain bawah 23 tahun (B23) sebelum diserap ke pasukan Liga Super pada bila-bila masa.” tulis kenyataan oleh MFL.

Sementara itu, MFL turut meningkatkan penggunaan pemain import dan lebih umur dalam saingan musim hadapan. Peraturan baharu membolehkan setiap pasukan menggunakan maksimum sehingga tiga pemain import serta dua pemain lebih umur di atas padang pada satu-satu masa.

Pada musim lalu, hanya dua pemain import serta seorang sahaja pemain lebih umur dibenarkan beraksi di atas padang pada satu-satu masa.

Baca: Ini Rupa Trofi Piala MFL – Berbentuk Perisai, Diperbuat Daripada Kaca

komen