Kim Pan-gon Tak Panggil Natxo, Afiq, Sumareh, Syahmi & Khuzaimi
March 1, 2024 Hafizuddin Omar

Seramai lima pemain skuad Piala Asia 2023 di Qatar tidak dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat yang bermula pada 8 Mac kelak. 

Kem latihan ini diadakan untuk menghadapi Oman pada perlawanan ketiga dan keempat peringkat Kumpulan D – Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mac (Muscat) dan 26hb Mac (Kuala Lumpur) masing-masing.

Lima pemain yang dimaksudkan itu terdiri daripada empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Natxo Insa, Afiq Fazail, Mohamadou Sumareh, Syahmi Safari serta seorang pemain Selangor FC, Khuzaimi Piee.

Bagaimanapun, kelima-limanya berada dalam Senarai Bersedia, boleh dipanggil semula oleh Pan-gon jika terdapat perubahan dalam senarai asal.

Baca: Kalau Semua ‘Game’ Arif Aiman Pergi, Pengsanlah – Presiden FAM

Sementara itu, 21 pemain lain dikekalkan oleh Pan-gon ditambah dengan 12 muka baharu sekaligus menjadikan seramai 33 pemain menyertai kem latihan kali ini.

Untuk makluman, 12 muka baharu itu ialah Suhaimi Husin, Azam Azmi, Safwan Mazlan, Sharul Nazeem, Harith Haiqal, Mukhairi Ajmal, Nooa Laine, Zikri Khalili, Ruventhiran, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim Rosli dan T. Saravanan.

Pada masa yang sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan yang disiarkan pada hari ini memaklumkan sebahagian daripada 33 pemain ini akan melaporkan diri ke kem latihan lewat seminggu iaitu pada 15 Mac.

Sejurus sahaja mereka itu hadir, beberapa pemain yang berusia 23 tahun dan ke bawah akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen