Kalau Semua ‘Game’ Arif Aiman Pergi, Pengsanlah – Presiden FAM
February 27, 2024 Hafizuddin Omar

Menjelang saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2024 di Qatar yang akan bermula pertengahan April kelak, sekelompok penyokong menyuarakan hasrat untuk melihat pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) musim 2021 dan 2022, Arif Aiman Hanapi dipanggil beraksi bersama skuad kebangsaan B-23.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin berpendapat adalah menjadi satu beban buat Arif – tonggak skuad senior – jika turut diperah kudratnya bersama skuad berjulukan Harimau Muda.

Bukan itu sahaja, secara praktiknya terutamanya di benua eropah, Hamidin menjelaskan pemain-pemain muda yang telah menembusi skuad senior tidak akan turun lagi beraksi bersama skuad bawah umur.

Namun begitu, Hamidin menyerahkan kepada ketua jurulatih, Juan Torres Garrido untuk menentukannya dan menantikan senarai penuh pemain-pemain yang akan dipanggil kelak.

Baca – Piala Asia B-23: Selangor FC Tiada Masalah Lepaskan Pemain

“Kalau kita tengok dekat eropah tu semua, pemain-pemain bawah umur bila dia dah main dekat atas (skuad senior) dia dah tak pergi kat bawah lagi,”

“Kerana kalau kita tengok player macam ni, semua game dia pergi, dia akan pengsanlah,” katanya menjawab soalan yang diutarakan oleh wartawan semasa Kongres Bola Sepak Wanita di Petaling Jaya, semalam.

Baca: Juan Torres Dapat Tugas Tambahan, Dilantik Ketua Jurulatih Skuad B-20

Pada masa yang sama, Hamidin mengesahkan persiapan Harimau Muda sebelum beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 adalah dengan bertemu India – difahamkan sebanyak dua kali – di sini. 

Selepas itu mereka akan berlepas ke Qatar – dijangka pada awal April – menghadapi perlawanan persahabatan menentang skuad tuan rumah serta China sebanyak dua kali dan satu kali masing-masing.

Bagi kempen Piala Asia B-23 kelak, Harimau Muda yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan kempen menentang Uzbekistan (17 April) diikuti Vietnam (20 April) dan terakhir Kuwait (23 April).

Tiga pasukan terbaik Piala Asia B-23 kali ini akan meraih slot ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris manakala pasukan keempat terbaik pula akan beraksi di perlawanan play-off menentang Guinea.

Featured Image: AFC

Komen