Skuad Harimau Malaya mengimpikan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata apabila turun menentang Oman pada perlawanan ketiga dan keempat peringkat Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Sasaran itu diletakkan sendiri oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon agar dapat merealisasikan cita-cita Harimau Malaya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia buat julung kalinya dalam sejarah.
Sasaran diletakkan oleh jurulatih kelahiran Korea yang berusia 54 tahun itu dilihat realistik lebih-lebih lagi mengambil kira Oman yang menghuni ranking ke-80 dunia pada ketika ini.
“Kita perlu dapatkan satu mata, (perlawanan yang) sangat sukar (dimana) pasukan ranking 132 menentang ranking 80 (terutamanya) di tempat lawan,” katanya ketika ditemui para pengamal media di Wisma FAM, baru-baru ini.
Tambahan pula, Pan Gon berkata skuad bimbingannya tidak dapat terbang awal ke ibu kota negara berkenaan untuk menyesuaikan diri.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 22 Mac kelak (waktu Malaysia).
Selepas itu, skuad Harimau Malaya akan pulang ke tanah air dan mempersiapkan diri untuk menentang Oman sekali lagi bagi perlawanan keempat peringkat Kumpulan D di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Pertembungan itu dijadulakan berlangsung pada 26 Mac (Selasa) dengan sepak mula pada jam 10 malam.
Baca – Kim Pan-gon: Impian Kami Kelompok 18 Terbaik Asia
Untuk makluman, saat ini, Harimau Malaya sedang memimpin Kumpulan D dengan enam mata susulan berjaya meraih dua kemenangan berturut-turut ketika bertemua Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada aksi pertama dan kedua masing-masing, November tahun lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menentang Oman dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa sembilan tahun yang lalu.
Ketika itu, Harimau Malaya bimbingan Datuk Dollah Salleh mengalami kekalahan besar dengan keputusan 0-6.
Featured Image: Football Association of Malaysia