Artikel

Kelayakan Piala Dunia 2026: Oman Rombak Bahagian Pertahanan, Senaraikan 4 Pemain Baharu

Pasukan yang menghuni ranking ke-80 dunia, Oman melakukan rombakan yang ketara terhadap bahagian pertahanannya menjelang pertembungan menentang Malaysia pada aksi ketiga dan keempat peringkat Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Perubahan itu dilakukan oleh ketua jurulatih baharunya, Jaroslav Silhavy, ketika mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk menyarung jersi Oman pada Sabtu lalu.

Berdasarkan senarai yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, Jaroslav yang berasal dari Republik Czech hanya mengekalkan tiga pertahanan daripada skuad Piala Asia 2023.

Tiga pemain tersebut ialah Ahmed Al-Khamisi, Ghanim Al-Habashi dan Ahmed Al-Kaabi disamping membawa empat pertahanan baharu iaitu Al-Muslami, Khalid Al-Ghatrifi, Hassan Al-Ajmi dan Abdul Aziz Al-Shamousi.

Pada masa yang sama, Jaroslav turut melakukan sedikit perubahan di bahagian serangannya dengan memanggil tiga pemain baharu iaitu Ali Al-Busaidi, Mohammed Al-Ghafri dan Abdul Aziz Al-Muqbali dicampur dengan empat muka sedia ada; Zahir Al-Aghbari, Abdul Rahman Al-Mushaifri, Muhsen Al-Ghassani dan Issam Al-Sabhi.

Baca: Oman Lantik Pengendali Dari Czech Untuk Hadapi Malaysia

Bahagian tengahnya pula dilakukan perubahan minoriti sahaja dengan membawa seorang pemain baharu iaitu Hatem Al-Rushadi. Selebihnya adalah anggota skuad Piala Asia 2023 terdiri daripada Fahmi Durbin, Harib Al-Saadi, Abdullah Fawaz, Salaah Al-Yahyaei, Omar Al-Malki, Arshad Al-Alawi, Jameel Al-Yahmadi dan Musaab Al-Mamari.

Manakala barisan penjaga gol pula tidak dilakukan sebarang perubahan dengan mengekalkan ketiga-tiga penjaga golnya; Ibrahim Al-Mukhaini, Faiyz Issa Al-Rusheidi dan Ahmed Faraj Al-Rawahi.

Secara rumusannya, Jaroslav mengekalkan hampir 70% anggota skuad Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar baru-baru ini.

Untuk makluman, Oman menamatkan kempen Piala Asia 2023 di tangga ketiga Kumpulan F selepas mengumpul dua mata hasil daripada keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu Thailand dan 1-1 semasa menentang Kyrgyzstan. Manakala satu lagi perlawanan berakhir dengan kekalahan 1-2  di tangan Arab Saudi.

Sebagai tambahan, Oman dijadualkan menentang Malaysia di Muscat pada 22 Mac dan di Kuala Lumpur pada 26 Mac.

komen