Oman Lantik Pengendali Dari Czech Untuk Hadapi Malaysia
February 6, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menghuni ranking ke-74 dunia, Oman tidak menunggu lama untuk melantik ketua jurulatih baharu bagi menghadapi Malaysia pada 22hb dan 26 hb Mac kelak.

Kedua-dua perlawanan terbabit merupakan aksi ketiga dan keempat bagi Oman dan Malaysia pada peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) mengumumkan posisi ketua jurulatih skuad kebangsaannya kini diisi oleh pengendali dari Republik Czech yang berusia 62 tahun, Jaroslav Silhavy.

Jaroslav dilantik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Branko Ivanovic – jurulatih dari Croatia, 69 tahun, yang dipecat oleh OFA selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Baca –Piala Dunia 2026: Aksi Pembukaan Di Stadium Azteca, Final Di Stadium New Jersey

Baca: Josef Cipta Rekod ‘Plank’ Paling Lama Di Dunia – 9 Jam 38 Minit 47 Saat

Turut dikongsikan kepada umum, Jaroslav telah menandatangani kontrak bersama OFA selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan Oman bermula dari Februari 2024 sehingga tahun 2026.

Sebagai rekod, Jaroslav merupakan ketua jurulatih skuad bola sepak Republik Czech – pasukan yang menghuni ranking ke-39 dunia – dari tahun 2018 hingga 2023.

Antara pencapaian terbaiknya sepanjang tempoh itu adalah mengemudi Republik Czech mara ke peringkat suku akhir EURO 2020.

Baca: Republik Czech Tumpaskan Belanda Yang Terpaksa Beraksi Dengan 10 Pemain

Selain itu, Jaroslav pernah membimbing dua kelab yang berpangkalan di negaranya iaitu Slavia Prague dan Slovan Liberec muncul juara Liga 1 Czech yang turut dikenali sebagai Fortuna Liga pada musim 2016-17 dan 2011-12 masing-masing.

Untuk makluman, ketika ini, saingan Kumpulan D sedang dipimpin oleh Malaysia bimbingan Kim Pan-gon dengan pungutan sebanyak enam mata sambil diekori Oman di tangga kedua yang mempunyai tiga mata.

Featured Image: Oman FA

Komen