Artikel

Pemain Skuasy Wanita No.1 Negara, Sivasangari Dilantik Duta CIMB

Pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam menjadi atlet terbaru yang dilantik sebagai Duta CIMB pada tahun ini selepas Ervin Chang – pemain golf profesional negara.

Pelantikan itu hadir selepas pemain berusia 25 tahun ini mencapai ranking tertinggi dalam kariernya iaitu ranking ke-15 dunia dan penyertaan sukan skuasy dalam temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Satu majlis menandatangani kontrak sebagai duta dan penajaan melibatkan Sivasangari serta pihak CIMB berlangsung pada hari ini di Menara CIMB sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

“Saya membesar dengan melihat Datuk Nicol David, dia merupakan idola saya, dia sentiasa mempunyai logo CIMB, saya sentiasa impikan perkara seperti ini, 

“Saya sentiasa mengharapkan menjadi sebahagian daripada CIMB, saya membesar bermain bersama CIMB, ini merupakan perkara yang besar buat saya, 

“Saya sangat gembira, dengan (penajaan) ini saya harap dapat meningkatkan lagi pencapaian dalam karier skuasy saya dan memenangi pingat emas Olimpik,” katanya. 

 

Baca: MSN Umum Program Fast Track – Bantu Atlet Muda Buru Emas LA28

Difahamkan, Sivasangari dilantik sebagai duta CIMB dengan tempoh masa yang panjang. Manakala pakej penajaan terhadapnya turut merangkumi wang tunai serta berbentuk barangan yang tidak didedahkan jumlahnya.

Bercakap mengenai sasaran pada musim ini, Sivasangari berhajat untuk meningkatkan lagi kedudukannya dalam ranking dunia dengan menyasarkan untuk berada dalam kelompok 10 pemain wanita terbaik dunia.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah ini tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi ke atas dirinya sendiri kerana perkara itu akan membuatkannya tidak dapat beraksi dengan baik.

Untuk makluman, Sivangari baru sahaja pulang daripada kejohanan yang berlangsung di Cleveland, Amerika Syarikat dimana dia berhasil mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum dikecewakan oleh pemain England, Georgina Kennedy yang menghuni ranking ketujuh dunia pada saat ini.

Sebagai tambahan, selain Sivasangari dan Ervin, atlet yang turut sama merupakan Duta CIMB adalah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

komen