Artikel

Oman, Malaysia Tidak Dibenarkan Berlatih Di SNBJ – Jaroslav Silhavy

Padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang akan digunakan untuk perlawanan melibatkan Malaysia dan Oman bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada hari esok berada dalam keadaan yang tidak bagus.

Maklumat mengenai keadaan padang yang tidak memuaskan itu disampaikan sendiri kepada skuad Oman kendalian Jaroslav Silhavy, semalam.

Susulan keadaan padang sebegitu, kedua-dua pasukan, Oman serta Malaysia tidak dibenarkan untuk mengadakan latihan rasmi di stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk berkenaan.

Baca: Kita Masih Sanjung ‘Cow Grass’ – Pemilik JDT

“Malangnya, kami dimaklumkan semalam, kami tidak dibenarkan berlatih di padang (SNBJ) kerana berada dalam keadaan tidak bagus, bukan sahaja Oman bahkan Malaysia tidak dibenarkan berlatih di situ dan perkara ini tidak bagus buat kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Wisma FAM, hari ini.

Umumnya, kedua-dua pasukan akan diberikan peluang untuk menjalani latihan rasmi di padang venue perlawanan agar para pemain dapat menyesuaikan diri sehari sebelum perlawanan.

Oleh demikian, Oman diaturkan untuk menjalani sesi latihan rasminya pada malam ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya manakala skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon pula akan berlatih di Padang Wisma FAM.

Difahamkan padang SNBJ yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia tajaan Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berada dalam keadaan yang tidak memuaskan selepas penganjuran konsert penyanyi kelahiran England, Ed Sheeran pada penghujung Februari lalu. 

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen