Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, menyatakan Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau asia tenggara yang masih menyanjung padang bola sepak yang menggunakan rumput jenis “cow grass”.
Jelasnya, penggunaan rumput jenis itulah yang menyebabkan sesebuah padang bola sepak menjadi berlopak apabila turunnya hujan ekoran mempunyai campuran tanah liat dan tanah gambut.
Sepertimana ramai sedia maklum, padang yang berlopak semasa atau selepas hujan semestinya akan mengganggu corak permainan selain boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain-pemain.
Perkara itu dilontarkannya menerusi Instagram Story di akaun rasminya – mengupas mengenai satu hantaran oleh sebuah portal yang menunjukkan perbezaan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Rajamangala apabila hujan.
Baca: Selangor FC Kekal Bermain Atas ‘Cow Grass’ Musim 2024-25
“Bukan SNBJ sahaja. Semua stadium dalam negara sama, padang berlopak apabila hujan. Yang tak berlopak hanya SSI Johor. Itu adalah fakta.
“Cow grass mempunyai tanah liat bercampur dengan tanah gambut. Itu membuat air susah nak resap.
“Kita juga satu-satunya negara dalam southeast asia (asia tenggara) yang masih sanjung rumput lembu (cow grass).” tulisnya pada hantaran tersebut, pagi tadi.
Baca: Kim Pan-gon Kongsi Pro & Kontra Beraksi Di Atas Cow Grass
Awal Januari lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah teraju YB Hannah Yeoh mengumumkan geran bernilai RM500,000 untuk dipohon oleh setiap kerajaan negeri bagi menaik taraf saliran (RM300,000) dan menukar rumput (RM200,000) daripada jenis “cow grass” kepada jenis bilah halus di stadium utama masing-masing.
Bagaimanapun, beberapa buah kerajaan negeri sahaja mengesahkan memohon geran tersebut terutamanya bagi penukaran rumput – Negeri Sembilan, Perak dan Pahang – manakala selebihnya memohon untuk menaik taraf saliran sahaja.
Baca: Kerajaan Negeri Mohon Geran RM200,000 Bebas Pilih Rumput Asalkan Jenis Bilah Halus
“Fasiliti dan infra bola sepak teruk. Mentaliti bodoh sombong dan, cepat puas hati, selesa, tak boleh terima fakta dan sentiasa ada alasan yang akan jatuhkan standard (tahap) liga kita.
“Thailand dan atas kita, Indonesia atas kita dalam segi infra, dan kalau mentaliti tak berubah, liga negara lain macam Vietnam, Filipina dan Kemboja akan pintas kita dalam segi infra bola yang memainkan peranan penting melahirkan kualiti dan standard liga.” tambahnya lagi sambil menujukan coretan itu kepada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali liga, Malaysian Football League (MFL).
Untuk makluman, hanya tiga stadium utama sahaja di dalam negara yang tidak lagi menggunakan rumput jenis “cow grass” iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).