Philippe Troussier, Vietnam Bercerai 2 Jam Selepas Tewas Kepada Indonesia
March 27, 2024 Hafizuddin Omar

Jodoh jurulatih kelahiran Perancis, Philippe Troussier bersama skuad senior dan skuad bawah 23 tahun (B-23) Vietnam menemui titik noktahnya.

Perceraian itu hadir kira-kira dua jam selepas Vietnam tewas 0-3 kepada Indonesia di halaman sendiri pada Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, lapor VnExpress.

“Kami baru sahaja selesai berbincang dan kedua-dua pihak bersetuju untuk membatalkan kontrak,” kata Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Duong Nghiep seperti dipetik daripada portal berkenaan.

Untuk makluman, Troussier, 69 tahun, menandatangani kontrak untuk membimbing skuad senior dan skuad B-23 Vietnam bermula dari 1 Mac 2023 sehingga 31 Julai 2026.

Baca: Bintang Vietnam Pulang Dari Perancis, Sertai Hanoi Police FC

Troussier bermula dengan langkah kanan apabila meraih tiga kemenangan berturut-turut ke atas Hong Kong, Syria dan Palestin.

Namun begitu, Vietnam mengalami sepuluh kekalahan daripada sebelas perlawanan yang seterusnya.

Tambahan pula, dua kekalahan terakhir di tangan Indonesia hampir pasti menutup ruang buat Vietnam ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.

Selain itu, susulan kekalahan demi kekalahan yang direkodkan, skuad berjulukan Naga Emas yang dahulunya menghuni tangga ke-94 dunia kini jatuh ke tangga ke-115 dunia – berdasarkan kiraan tidak rasmi.

Featured Image: VFF

Komen