Artikel

Sasaran Terengganu FC 2024-25: Top 3 Liga Super & Jejak Satu Pentas Final

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC perlu menempatkan diri mereka dalam kelompok tiga terbaik dalam saingan Liga Super 2024-25.

Bukan itu sahaja, skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner ini juga perlu mara ke salah satu perlawanan akhir bagi kejohanan berpiala samada Piala FA atau Piala Malaysia.

Ini berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC menetapkan sasaran sedemikian untuk dicapai mereka pada musim 2024-25 yang akan bermula dari 10hb Mei.

“Kami menyasarkan top 3 di Liga Super dan sekurang-kurangnya mara ke satu perlawanan akhir (kejohanan) berpiala samada Piala FA ataupun Piala Malaysia,” kongsi Sabri ketika ditemui di Armada Hotel, Petaling Jaya baru-baru ini.

Jendela perpindahan kali ini menyaksikan Terengganu FC merekrut beberapa pemain baharu dalam kalangan tempatan mahupun import untuk menguatkan skuadnya.

Baca: Terengganu FC Tanggung Kecederaan Bek Kanan JDT, Perlu Rehat 6-8 Minggu

Antaranya menandatangani Akram Mahinan, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Ismaheel Akinade, Matthew Steenvoorden, Manuel Ott dan Marin Pilj.

Mereka turut meminjam semula bek kanannya yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), Azam Azmi Murad selain menaikkan pangkat beberapa pemain dari skuad Terengganu FC II yang cemerlang dalam kempen Piala MFL pada musim lalu. 

“Pada kami dengan kombinasi skuad yang kita ada daripada pemain tempatan dan import, Insya-Allah, kami yakin, kami mampu mencapai target (sasaran) itulah,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Sabri memaklumkan skuad Terengganu FC pada ketika ini telah lengkap dan dijangka tiada sebarang pertambahan pemain baharu lagi.

Sebagai rekod, musim lalu menyaksikan Terengganu FC menamatkan kempen Liga Super di tangga keenam disamping muncul naib juara Piala Malaysia dan mara ke separuh akhir Piala FA. 

Selain itu, mereka turut menamatkan kempen Piala AFC selaku naib juara Kumpulan G.

Featured Image: Terengganu FC

komen