Terengganu FC Tanggung Kecederaan Bek Kanan JDT, Perlu Rehat 6-8 Minggu 
April 2, 2024 Hafizuddin Omar

Bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Azam Azmi Murad, yang mengalami kecederaan ketika beraksi mewakili skuad kebangsaan menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini tidak pulang ke kelab induknya.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun kelahiran Pulau Pinang itu kekal berada di pantai timur menjalani pemulihan bersama Terengganu FC – kelab yang meminjamnya.

Bagaimanapun, para penyokong skuad Hitam Putih boleh menarik nafas lega kerana kecederaan yang menimpa Azam bukanlah melibatkan anterior cruciate ligament (ACL) sepertimana didakwa ramai.

Namun begitu, pemain yang merangkul Anugerah Pertahanan Terbaik ABK23 itu tetap memerlukan rehat sekurang-kurangnya sebulan setengah sebelum dapat kembali beraksi bersama rakan sepasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2024-25. 

“Sekarang Azam walaupun dia berstatus pinjaman tapi dia sememangnya berada di bawah pasukan TFC-lah,”

“Memang menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan beliau pulih walaupun kecederaanya tidaklah begitu serius tetapi memerlukan rehat sehingga enam ke lapan minggu,”

Baca: JDT Adalah Majikan Azam Azmi, Hidalgo & Adik Beradik Kembar Lambert

“Harapan kami semoga Azam Azmi akan segera pulih dan akan beraksi kembali di awal musim,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd. Sabri Abas ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani MoU Antara Terengganu FC dan Vearich International, semalam.

Ketika beraksi menentang Oman dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2026 itu, Azam hanya sempat beraksi selama 25 minit sebelum mengalami kecederaan dan digantikan dengan Daniel Ting.

Baca – Kim Pan-gon: Peluang Azam Azmi Ke Piala Asia B-23 Sukar

Selepas perlawanan, Azam dilihat keluar meninggalkan SNBJ dalam keadaan bertongkat dan memakai pelindung kaki untuk menaiki bas pasukan.

Disebabkan kecederaan itu, Azam terpaksa melupakan hasrat untuk mewakili skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) kendalian Juan Torres Garrido beraksi dalam sainga Piala Asia B-23 2024 di Qatar yang turut  berperanan sebagai kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

Untuk makluman semua, Azam disahkan menjadi milik skuad Harimau Selatan selepas CEO JDT, Alistair Edwards tampil mengumumkan mengikatnya secara rasmi pada penghujung Februari lalu bersama-sama Declan Lambert, Ryan Lambert dan Manuel Hidalgo.

Komen