Aniq Kasdan Raih Tiket Ke Sukan Olimpik 2024
April 3, 2024 Hafizuddin Omar

Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan berjaya meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Kali Ke-33 yang akan berlangsung di Paris, Perancis kelak.

Atlet berusia 21 tahun terbabit meraih tiket ke temasya berkenaan selepas kekal pada kedudukan kelapan dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik kategori 61 kilogram (kg) selepas kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand melabuhkan tirainya, semalam.

Aniq yang juga merupakan atlet Program Road To Gold (RTG) menghuni kedudukan berkenaan hasil melakukan angkatan seberat 296kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Baca: Aniq Kasdan Atlet Baharu Sertai Program RTG

Bagaimanapun, ketika beraksi di Piala Dunia IFW, Phuket, Aniq tidak dapat mengulangi rekod terbaiknya itu dan sekadar melakukan angkatan keseluruhan seberat 290kg sahaja.

Sementara itu, saingan di Phuket itu menyaksikan atlet angkat berat China, Li Fabin meraih pingat emas dengan angkatan seberat 312kg manakala Park Myongjin (Republik Korea) dan Ceniza John (Filipina) pula membawa pulang perak dan gangsa hasil melakukan angkatan seberat 301kg dan 300kg masing-masing.

Untuk pengetahuan semua, Aniq menjadi atlet angkat berat negara yang pertama mara ke temasya berprestij dunia yang berlangsung setiap empat tahun sekali ini selepas Mohd. Hafifi Mansor layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Majlis Sukan Negara Malaysia (@msn_malaysia_official)

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen