Kedah Darul Aman FC Mula Saingan Liga Super 2024-25 Dengan -3 Mata
April 5, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (Kedah) akan memulakan saingan Liga Super 2024-25 dengan -3 mata.

Perkembangan itu hadir susulan First Instance Body (FIB) mengenakan hukuman pemotongan tiga mata, berkuatkuasa serta merta semalam, atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

Selain pemotongan mata, Kedah Darul Aman bimbingan Nafuzi Zain itu turut dikenakan denda sebanyak RM50,000 – berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 “Article 2.4 (c) Licensing Sanctions.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir, Kedah Darul Aman telah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac lalu.

Namun selepas tarikh itu, skuad berjulukan Sang Kenari gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.

Baca: Rindu Keluarga, Orang Tua Tak Sihat Asbab Rizal Kembali Ke Kedah

FIB mengambil maklum surat daripada Kedah Darul Aman FC bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac 2024.”

“Namun, ianya masih tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023.” kata Sheikh Mohd Nasir.

Pada masa yang sama, Kedah Darul Aman diberikan tempoh sehingga 20 April 2024 jam 5 petang untuk membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 atau mengemukakan bukti dokumen kewangan.

Kegagalan berbuat demikian sehingga tamat tempoh berkenaan, Lesen Kebangsaan yang telah diberikan kepada Kedah Darul Aman boleh ditarik balik seterusnya tidak melayakkan mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25.

Sementara itu, FIB mengesahkan pasukan berpangkalan di ibu kota iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) telah berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac baru-baru ini.

Komen