Bekas Penyerang Harimau Malaya Sertai Barisan Kejurulatihan KL City Extension
April 17, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain-pemain Kuala Lumpur City Extension yang beraksi dalam saingan Piala MFL 2024-25 akan menerima tunjuk ajar daripada bekas penyerang skuad Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha.

Ini susulan skuad berpangkalan di ibu kota berkenaan mengumumkan mengikat Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Matyo selaku penolong jurulatih bagi skuad KL City Extension menerusi hebahan di pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Pengalaman Matyo selaku penyerang samada di peringkat antarabangsa mahupun domestik pastinya akan diperah secukupnya agar dapat memanfaatkan pemain-pemain KL City Extension khususnya kalangan pemain yang beraksi di posisi serangan. 

Perkembangan itu sekaligus menyaksikan Matyo – salah seorang anggota skuad Harimau Malaya yang merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 – menoktahkan kariernya selaku pemain profesional ketika menghampiri usia 38 tahun.

Oleh demikian, Harini FT yang beraksi dalam saingan Liga M3 2023 menjadi kelab terakhir disertainya selaku pemain profesional.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Kuala Lumpur City FC (@klcityfootball)

Baca: Format Baharu Piala MFL – Liga Satu Kumpulan, 3 Pemain Import Atas Padang

“Permulaan pada usia 38 tahun sebagai penolong jurulatih KL City B23. Saya sudah ada lesen jurulatih, Insya-Allah, saya akan menggalas tanggungjawab ini sehabis baik,”

“Niat di hati nak beraksi lagi sebagai pemain Harini FT kerana target untuk membawa ke Liga Super masih belum dicapai,”

“Apakan daya perancangan Allah adalah yang terbaik.” tulis Matyo di akaun media sosialnya.

Sebagai rekod, antara kelab yang pernah disertai Matyo ialah Melaka United, Sarawak United, BG Pathum United (Thailand), Sri Pahang, Felda United, Terengganu, ATM, Johor Darul Ta’zim, Kelantan, My Team, Negeri Sembilan dan Perak.

Sepanjang kariernya, Matyo telah menjulang tiga kejuaraan Liga Super, dua kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia serta juara Liga Thai 1.

Manakala bersama skuad kebangsaan, Matyo turut bergelar juara Pesta Bola Merdeka 2007 dan meraih pingat emas Sukan SEA 2009 bersama skuad Harimau Muda.

Komen