Kelantan Perlu Daftar Minimum 20 Pemain Atau Digugurkan Daripada Liga A1
Hafiz Omar
Pasukan milik Norizam Tukiman iaitu Kelantan FC diberikan tempoh sehingga 8hb Mei untuk mendaftarkan minimum 20 pemain bagi membolehkannya beraksi dalam Liga A1 Semi Pro (dahulunya dikenali sebagai Liga M3) 2024-25.
Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan mereka digugurkan daripada saingan Liga A1 Semi Pro yang akan bermula pada 1hb Jun kelak.
Bagaimanapun, skuad berjulukan The Red Warriors (TRW) itu berhadapan cabaran untuk mencukupkan bilangan minimum tersebut.
Ianya disebabkan mereka kini dikenakan sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Daripada AFL (Amateur Football League) kita ada letakkan syarat yang berasingan daripada segi pendaftaran pemain sebab kita punya regulation (peraturan) minimum kena daftarkan 20 pemain,”
“Of course (sudah tentu) Kelantan sekarang ni dikenakan sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu tapi kita pun tak boleh cakap dia tak boleh buat (cukupkan pendaftaran 20 pemain),” kata Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad semasa sidang media Majlis Pelancaran Logo Baharu Pertandingan Anjuran MFL.

Baca: Manja Man Sasar Bawa Kelab Milik Zamsaham Ke Saingan Liga Super 2025-26
“Mungkin (dalam) 1-2 hari ni, mungkin dia boleh settle-kan (selesaikan) semua masalah dan register player (daftarkan pemain),”
“So (jadi) kalau dia tak boleh register player (daftarkan pemain) dan dekat situlah kita kena consider (tentukan), seharusnya, kalau dia tak boleh register player (daftarkan pemain) kalau kita bagi dia main pun dia tak boleh main, (sebab) tak ada player (pemain), mungkin boleh digugurkan (daripada saingan Liga A1),” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, Raimi menjelaskan tempoh akhir untuk mendaftarkan pemain adalah 30hb Mei.
Namun Kelantan diberikan tempoh sehingga 8hb Mei supaya AFL mempunyai ruang masa untuk menggantikan pasukan milik Norizam itu dengan pasukan lain sekiranya digugurkan ekoran tidak mendaftarkan minimum 20 pemain.
Terdahulu, AFL menjelaskan Kelantan diterima beraksi dalam saingan Liga A1 atas faktor pasukan negeri dan tidak mahu pasukan tersebut “lenyap” daripada saingan bola sepak Malaysia.