Stadium MBPJ Kini Berkapasiti 10,661 Tempat Duduk
May 2, 2024 Hafizuddin Omar

Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang merupakan gelanggang rasmi bagi Selangor FC kini mempunyai kapasiti sebanyak 10,661 tempat duduk.

Jumlah kapasiti tersebut dikongsikan oleh pihak Selangor FC selepas selesai kerja-kerja menaik taraf dilakukan semasa saingan liga berehat terutamanya menambah tempat duduk tunggal di seksyen tempat duduk bersimen.

Sebagai perbandingan, Stadium MBPJ sebelum ini mampu memuatkan maksimum sekitar 25,000 penonton pada satu-satu masa.

Selain itu, kerja-kerja menaik taraf itu turut melibatkan pemasangan papan iklan LED baharu, meja baharu di tribun media, naik taraf lobi, pembinaan “skydeck”, kerusi dan bangku pemain simpanan, tandas bilik persalinan, bumbung, monumen dan cat baharu.

Kesemua penambahbaikan ini dapat disaksikan ketika skuad berjulukan Gergasi Merah beraksi dalam kejohanan pramusim, Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 pada Jumaat dan Ahad lalu.

Baca: Selangor FC Lancar Jersi Home 2024-25, Edisi Elite Dijual RM249

Selangor bimbingan Nidzam Jamil turut berjaya muncul juara kejohanan berkenaan selepas mengumpul 14 mata hasil daripada mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Young Elephant dan DPMM FC.

Selangor akan beraksi di stadium berawajah baharunya buat julung kalinya secara rasmi dalam saingan Liga Malaysia 2024-25 pada 18 Mei (Sabtu) bertemu Kedah Darul Aman FC bimbingan Nafuzi Zain.

Selain menjadi gelanggang untuk saingan Liga Malaysia, Stadium MBPJ akan menjadi “home” buat Selangor FC untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024-25.

Komen