FIFA Luluskan Penggunaan VAR Di Liga Malaysia
May 2, 2024 Hafizuddin Omar

Teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) boleh digunakan dalam saingan Liga Malaysia secara rasminya bermula musim 2024-25.

Ini selepas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selaku badan induk bola sepak dunia telah mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi tersebut pada 29 April (Isnin) lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram menerusi satu siaran media pada hari ini.

Pengiktirafan dan kelulusan itu diberi selepas delegasi FIFA iaitu Bhaveshan Moorghan dan Instruktur VAR FIFA, Igor Rodajacic melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil-pengadil dan keberkesanan teknologi VAR pada April lalu.

Baca: Sebelum Ini Bulu Ketiak, Kali Ini Jari Kaki – Klopp ‘Redha’ Keputusan VAR

Sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh FAM dan Malaysian Football League (MFL) dalam masa enam hari bagi tujuan tersebut.

Selain itu, pihak MFL juga telah menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang melibatkan pasukan-pasukan Liga Super.

Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi Liga Super musim 2024-25.

Video: Curi-Curi Tengok Skrin Monitor VAR, Suarez Dilayangkan Kad Kuning 

Menerusi laporan yang disediakan, Bhaveshan memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil-pengadil VAR di negara ini sekaligus membawa kepada kelulusan FIFA untuk penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia bermula 10 Mei kelak.

Untuk makluman, pengiktirafan ini menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada 68 buah negara yang telah mendapat pengiktirafan dan kelulusan daripada FIFA untuk menggunakan teknologi VAR.

Pada masa yang sama, Sivasundaram menjangkajan pelaksanaan VAR di Liga Malaysia dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pengadil-pengadil negara dipilih untuk bertugas di peringkat AFC dan FIFA.

Komen