MFL Tak Tunda Perlawanan Sumbangsih JDT vs Selangor
Hafiz Omar
Tiada penundaan akan dilakukan terhadap perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Perlawanan Sumbangsih melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Justeru, ianya akan dilangsungkan sepertimana dijadualkan iaitu pada 10 Mei (Jumaat) dengan sepak mula pada jam 9 malam.
Bukan sahaja, perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2024-25 tersebut, perlawanan-perlawanan lain yang telah dirancang sepanjang hujung minggu ini akan dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan mereka sebentar tadi.
Keputusan itu dikongsikan selepas Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar memberikan jaminan keselamatan kepadapara pemain dan penyokong bagi perlawanan tersebut yang mengumumkan bahawa seramai 1,500 anggota polis akan dikerah untuk bertugas.
Baca: Perlawanan Sumbangsih, Saingan Pertama Liga Super 2024-25 Tidak Diasingkan
Ini termasuk membuat kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.
Pada masa yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan hari ini turut menyatakan bahawa persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan.
Semalam, Selangor atau nama julukannya, Gergasi Merah telah menghantar surat permohonan rasmi kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) untuk menunda Perlawanan Sumbangsih 2024.
Permohonan itu dibuat rentetan beberapa isu dan insiden yang berlaku terutamanya melibatkan penyerang sayapnya, Faisal Halim yang diserang oleh individu yang tidak dikenali dengan menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada Ahad lalu.
Featured Image: Malaysian Football League