Perlawanan Sumbangsih 2024: Selangor Tarik Diri, JDT Muncul Juara?
May 8, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC membuat keputusan untuk tidak hadir ke Perlawanan Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 Mei (Jumaat).

Pengumuman itu dimaklumkan oleh pihak kelab berjulukan Gergasi Merah itu menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam,”

“Pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukan untuk TIDAK HADIR ke Perlawanan Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan,” tulis kenyataan kelab.

Baca: MFL Tak Tunda Perlawanan Sumbangsih JDT vs Selangor

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan,” tambah kenyataan itu lagi.

Pengumuman penarikan diri Selangor yang juga merupakan naib juara Liga Super musim lalu menjadikan JDT atau Harimau Selatan muncul selaku pemenang Perlawanan Sumbangsih atau Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2024.

Pada masa yang sama, memandangkan perlawanan ini juga merupakan perlawanan pertama Liga Super 2024-25, JDT juga akan mendapat kemenangan percuma 3-0 serta memungut 3 mata pertama bagi musim ini.

Komen