Terengganu FC Sasar Separuh Akhir Piala Shopee 2024-25
May 10, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN atau Piala Shopee 2024-25.

Sasaran yang dianggap realistik tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Mohd. Sabri Abas ketika dihubungi Sukanz selepas majlis undian rasmi kejohanan di Ho Chi Minh, Vietnam, semalam.

Hasil undian tersebut menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner diundi dalam Kumpulan A bersama-sama BG Pathum United FC (Thailand), PSM Makassar FC (Indonesia), Dong A Thanh Hoa FC (Vietnam) serta pemenang Play-Off 1 dan 2.

Pada masa yang sama, Sabri menyifatkan hasil undian itu cukup baik buat Terengganu berbanding jika dimasukkan dalam Kumpulan B. 

Baca: Sasaran Terengganu FC 2024-25: Top 3 Liga Super & Jejak Satu Pentas Final

“Seperti yang kita semua tahun BG Pathum pasukan yang main Liga Juara-Juara AFC, mereka menjadi lawan yang paling sukar, PSM Makassar merupakan pasukan yang ada pengalaman main di Piala AFC dan akan jadi (lawan) yang ‘tricky’ untuk kita,” 

“(Dong A) Thanh Hoa musim ini agak baik (prestasinya) di bawah Coach Popov juga akan jadi salah satu lawan yang sukar untuk Terengganu,” katanya.

Mengulas dengan lebih lanjut, Sabri juga tidak melihat saingan Piala Shopee yang julung kali dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini akan memadatkan jadual skuad Hitam Putih.

“Kepadatan jadual rasanya takkan timbul isu sebab kita dah ada pengalaman main Piala AFC musim lepas, jadi, bukan alasan untuk Terengganu,” tambahnya.

Untuk makluman, peringkat kumpulan Piala Shopee ini akan bermula dari 21hb Ogos 2024 hingga 6hb Februari 2025. Manakala saingan separuh akhir pula dijadualkan berlangsung pada April 2025 dan perlawanan akhir pada Mei 2025.

View this post on Instagram

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Featured Image: Terengganu FC

Komen