Coach Fandi Suka Aura Di Stadium Temerloh, Penyokong Lebih Dekat
May 13, 2024 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak mempunyai masalah pasukannya terpaksa bertukar gelanggang “home” ke Stadium Majlis Perbandaran Temerloh yang berjarak sekitar 130 kilometer (km) daripada Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Bahkan jurulatih dari Singapura itu menyukai pengalaman beraksi di stadium berkapasiti sekitar 9000 penonton pada satu-satu masa kerana aura serta kedudukan penyokong yang dekat dengan padang.

“Memang tempat baik bagi saya, suasana bagus, fans (penyokong) dekat (dengan padang),” katanya selepas perlawanan pertama Liga Super 2024-25 menentang Kelantan Darul Naim FC.

Selain itu, jurulatih berusia 61 tahun itu juga berpuas hati dengan keadaan padang yang rata di stadium berkenaan serta fasiliti-fasiliti yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) untuk kegunaan pasukannya.

Dalam perlawanan itu, Sri Pahang berjaya merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim hasil jaringan tunggal oleh Manuel Hidalgo yang berpunca daripada sepakan percuma pada minit ke-63. 

Baca: CEO Sri Pahang, Pengurus Besar Penang Sertai Lembaga Pengarah MFL 2021-2025

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Dato’ Mohamed Suffian Awang mengesahkan skuad berjulukan Tok Gajah akan kekal beraksi di Stadium Temerloh selama semusim.

@sukanzcom

CEO Sri Pahang FC mengesahkan skuad Tok Gajah akan beraksi selama semusim di Stadium Temerloh berikutan kerja-kerja naik taraf saliran dan penukaran rumput kepada jenis Bermuda selain menggesa meningkatkan keupayaan lampu limpah di sana #SukanDiTiktok

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

Ini berikutan Stadium Darul Makmur akan menjalani kerja-kerja menaik taraf saliran serta rumput padangnya akan ditukar daripada jenis cow grass kepada Bermuda – sama seperti yang digunakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu.

Jelasnya lagi, naik taraf tersebut akan menggunakan geran sebanyak RM500,000 yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mendapat suntikan tambahan sebanyak RM1.7 juta daripada pihak Kerajaan Negeri Pahang.

Pada masa yang sama, Suffian tidak menolak sebarang kemungkinan Sri Pahang akan kekal beraksi di Stadium Temerloh pada musim berikutnya sekiranya projek naik taraf Stadium Darul Makmur belum siap sepenuhnya setelah tamat saingan Liga Malaysia 2024-25.

@sukanzcom

Sri Pahang FC kekal lebih lama Di Stadium Temerloh? #SukanDiTiktok

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

Featured Image: Malaysian Football League

Komen