Harga tiket untuk menyaksikan Selangor FC beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang baru sahaja dinaik taraf untuk keselesaan para penonton dan penyokongnya kekal seperti musim lalu.
Kerja-kerja naik taraf itu menyaksikan kapasiti Stadium MBPJ itu berkurangan menjadi 10,661 tempat duduk sahaja.
Pengekalan harga tiket tersebut disahkan sendiri oleh kelab berjulukan Gergasi Merah itu menerusi satu hantaran yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya.
Selangor menetapkan harga tiketnya mengikut pengkelasan Tier 1 dan Tier 2 berdasarkan reputasi kelab yang dilayaninya selain taraf kejohanan yang dihadapi.
Harga-harga tiket perlawanan Selangor sepanjang saingan Liga Malaysia 2024-25 adalah seperti berikut:
Jenis | Tier 1 | Tier 2 |
Kids | RM5 | RM5 |
Open | RM25 | RM20 |
Grandstand | RM30 | RM25 |
Biarpun mengekalkan harga tiketnya, Selangor melakukan sedikit perubahan dengan mengeluarkan Negeri Sembilan FC dan menggantikannya dengan Sri Pahang FC di dalam kelompok Tier 1 bersama-sama Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC.
Sementara itu, Negeri Sembilan dikelaskan dalam Tier 2 bersama-sama Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuching City FC, Perak FC, Penang FC dan PDRM FC.
Bagi mendapatkan lebih penjimatan bagi setiap perlawanan, Selangor menggalakkan para penyokong setianya untuk mendapatkan Pas Bermusim 2024-25 yang bernilai RM49 (Kids), RM199 (Open) dan RM299 (Grandstand).
Pendaftaran untuk Pas Bermusim 2024-25 dibuka sehingga 8hb Jun 2024.