Mano Polking Dikaitkan Ke Selangor, Bakal Terbang Ke Kuala Lumpur
May 24, 2024 Hafizuddin Omar

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Alexadre ‘Mano’ Polking yang dikaitkan untuk mengemudi Selangor FC selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan bakal terbang ke ibu kota tanah air, Kuala Lumpur.

Individu yang membimbing skuad berjulukan Gajah Perang menjuarai Piala AFF sebanyak dua kali berturut-turut itu bekal menjejakkan kakinya di Kuala Lumpur atau lebih tepatnya Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekitar penghujung Januari tahun hadapan.

Ini susulan jurulatih berusia 48 tahun berkenaan telah diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu bagi kelab yang beraksi dalam divisyen tertinggi bola sepak Vietnam iaitu Cong An Ha Noi FC, semalam.

Untuk makluman semua, Cong An Ha Noi merupakan salah satu kelab yang akan ditentang oleh Kuala Lumpur City FC (KL City) bimbingan Miroslav Kuljanac peringkat Kumpulan B dalam kejohanan Piala Shopee 2024-25.

Berdasarkan jadual perlawanan peringkat kumpulan yang dikongsikan ASEAN United FC, pertembungan melibatkan KL City dan Cong An Ha Noi pada 23 Januari 2025 itu menyaksikan skuad berjulukan The City Boys menjadi tuan rumah.

Baca: KL City, Buriram United & Lion City Sailors Bertembung Dalam Piala Shopee 2024-25

Sebagai tambahan, Polking menyertai Cong An Ha Noi bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Kiatisuk Senamuang atau nama glamornya, Zico – juga merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand –  yang meletakkan jawatan sekitar pertengahan Mei baru-baru ini.

Sebelum ini, nama Polking menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan khususnya skuad berjulukan Gergasi Merah sebaik sahaja Cheng Hoe mengumumkan perpisahannya dan menyertai Police Tero FC yang berpangkalan di Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Selangor membuat keputusan untuk kekal menggunakan khidmat jurulatih tempatan dengan menaikkan pangkat penolong ketua jurulatih merangkap bekas pertahanannya di era awal 2000-an, Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatihnya bermula 16 Mac lalu.

Featured Image: Changsuek

Komen