Kelantan Tarik Diri Liga A1 Semi-Pro, Mahu Selesaikan Tunggakan Gaji & Kes FIFA
May 24, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang meraih gelaran treble pada musim 2012, Kelantan FC bukan sahaja tidak beraksi dalam saingan Liga Super bahkan Liga A1 – Semi Pro musim 2024-25.

Perkembangan mengejutkan itu hadir selepas presiden merangkap pemilik, Norizam Tukiman mengesahkan skuad berjulukan The Red Warriors (TRW) menarik diri daripada saingan divisyen kedua bola sepak tanah air tersebut.

“Kelantan FC dengan ini mengumumkan penarikan diri pasukan daripada Liga A1 Semi-Pro…” ujarnya menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di platform media sosial kelab, hari ini.

Mengulas dengan lebih lanjut, penarikan diri itu dilakukan selepas membuat pertimbangan yang teliti, antaranya, untuk menyelesaikan isu-isu dalamannya seperti baki gaji pemain musim lalu yang masih tertunggak serta kes-kes FIFA.

Baca: AFL Lanjut Tarikh Pendaftaran Pemain Hingga 24 Mei, Kelantan FC Dapat ‘Masa Tambahan’

“Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakkan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru.”

“Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan FC telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship Musim 2024.” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, Norizam atau juga dikenali dengan Zamsaham mewakili Kelantan turut memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak pengelola Liga A1 iaitu Amateur Football League (AFL) dan pihak lain yang berkepentingan.

“Kelantan FC juga ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan TRW Kelantan FC di atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super Musim 2023 serta tidak menyertai Liga pada musim baru ini.” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Norizam memaklumkan Kelantan akan kembali menyertai liga bola sepak tempatan pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik.

Featured Image: TRW Kelantan FC

Komen