AFL Lanjut Tarikh Pendaftaran Pemain Hingga 24 Mei, Kelantan FC Dapat ‘Masa Tambahan’
Hafiz Omar
Kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro mendapat lanjutan masa untuk membentuk skuad masing-masing apabila Amateur Football League (AFL) selaku penganjur melanjutkan tarikh tutup pendaftaran pemain bagi tempoh pendaftaran pertama.
Berdasarkan pengumuman pada hari ini, AFL memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran tersebut sehingga 24hb Mei 2024 (Jumaat), tamat pada jam 11.59 malam.
Difahamkan, lanjutan itu diputuskan selepas AFL mengambil maklum permohonan dan kesulitan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro untuk melengkapkan pendaftaran pemain melalui sistem pendaftaran FAM-Mypass pada tempoh masa yang telah ditetapkan – sehingga 14hb Mei.

Antara kesulitan yang dialami kelab-kelab bertanding adalah buat julung kalinya terlibat untuk menguruskan pendaftaran pemain-pemain import sepertimana dikongsikan Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd. Raimi Fakri Mohd. Fuad ketika ditemui para pengamal media, semalam.
Sebagai rekod, Liga A1 Semi-Pro (dahulunya dikenali sebagai Liga M3) musim 2024-25 membenarkan kelab-kelab yang bertanding menggunakan khidmat dua pemain import berdasarkan garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.
Pada masa yang sama, lanjutan tarikh tutup pendaftaran ini pastinya menyelamatkan seketika Kelantan FC daripada disingkirkan Liga A1 Semi-Pro serta memberikan tambahan masa bagi menyelesaikan isu hukuman sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baca: Manja Man Sasar Bawa Kelab Milik Zamsaham Ke Saingan Liga Super 2025-26
Terdahulu, AFL memberikan tempoh khas sehingga 8hb Mei buat Kelantan FC untuk mendaftarkan minimum 20 pemain bagi membolehkan skuad bimbingan Manja Man beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro yang akan membuka tirainya pada 1hb Jun nanti.
Namun begitu, Kelantan yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman tampil bertemu pihak AFL memohon penangguhan tempoh pendaftaran tersebut.
Perkara itu dipersetujui oleh pihak AFL selepas Kelantan dilihat menampilkan bukti-bukti yang menunjukkan mereka berusaha untuk menyelesaikan hukuman sekaran yang dikenakan dengan menetapkan tarikh akhir pendaftaran pada 14hb Mei – sama seperti 15 buah kelab yang lain.