Faisal Halim Dibenar Keluar Hospital Selepas Jalani 4 Pembedahan
May 25, 2024 Hafizuddin Omar

Penyerang sayap Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali telah dibenarkan keluar dari Avisena Specialist Hospital pada hari ini.

Perkembangan menggembirakan itu disahkan sendiri oleh Selangor menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi.

“Pihak kelab dengan penuh kesyukuran ingin memaklumkan bahawa Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital setelh menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat,” tulis kenyataan terbabit.

Dalam kenyataan yang sama, doktor pakar yang bertugas memerhatikan bahawa kadar pemulihan pemain berusia 26 tahun berasal dari Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu daripada kecederaan serius terbabit amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak.

“Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau.”

Baca: ISN Sedia Program Pemulihan Percuma Buat Faisal Halim

“Pihak kelab dan keluarga Faisal Halim memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya.” tambah kenyataan itu lagi.

Pada kesempatan itu, skuad berjulukan Gergasi Merah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Pakar Unit Plastik & Rekonstruktif, Dr. Wan Syazli Rodzaian Wan Ahmad Kamal; seluruh warga Avisena Specialist Hospital dan Thomson Hospital Kota Damansara yang komited dalam memberikan penjagaan komprehensif serta sumbangan besar kepada rawatan dan pemulihan Faisal Halim.

Featured Image: AFC / Selangor FC

Komen